![]() |
Tun Musa (tiga dari kiri) ketika melihat lukisan yang diberikan sebagai cendera kenangan - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) komited memberi peluang yang lebih banyak dan menambah baik kemudahan pendidikan khususnya kepada anak-anak di Sabah.
Pengerusi Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengelola UCSF, Datuk Dr. Mohd Yaakub Johari berkata antara perancangan UCSF adalah mewujudkan fakulti-fakulti baru seperti Fakulti Undang-Undang, Fakulti Maritim, Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), Sains Komputer dan sebagainya.
"Sebagai sebuah universiti milik kerajaan negeri dan dalam usaha untuk perkembangan UCSF kami memerlukan sokongan bukan sahaja daripada kerajaan negeri tetapi juga daripada pelbagai pihak.
"UCSF akan terus memantapkan peranannya dalam melahirkan modal insan sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri dan dapat memainkan peranan penting di Sabah tetapi juga di peringkat nasional serta antarabangsa terutamanya di rantau ASEAN," katanya selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada Rabu.
Dr. Mohd Yaakub memaklumkan kunjungan hormat berkenaan untuk memaklumkan Tun Musa tentang perkembangan terkini dan peranan UCSF selain mendapatkan maklum balas serta nasihat Yang di-Pertua Negeri.
Dalam pada itu, Naib Canselor, Ahli Lembaga Pengelola UCSF, Datuk Dr Rafiq Idris menjelaskan UCSF akan memperkenalkan atau menawarkan kursus-kursus baru seperti Kursus Seni Bina dan beberapa kursus strategik seperti Undang-Undang dan berkaitan dengan Artificial Intelligence.
Menurutnya, lebih 3,000 graduan berjaya menamatkan pengajiannya daripada UCSF sejak ditubuhkan pada sepuluh tahun lalu.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )