![]() |
Tetamu jemputan yang hadir bersempena Majlis Perasmian Penutupan Program NICE 2024 dan Majlis Pertukaran Surat Niat antara FSMP dan JHEAINS - ihsan UMS |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menerusi pertukaran surat niat, baru-baru ini.
Dekan FSMP, Profesor Ts Dr Hasmadi Mamat berkata jalinan kerjasama tersebut bertujuan menyebarluas ilmu dan kepakaran dalam bidang pemakanan dan kesihatan kepada komuniti setempat melalui penganjuran program Nutrition in Community Engagement (NICE) dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa murid-murid Sekolah Agama Negeri (SAN).
Katanya ia juga merupakan salah satu inisiatif pembelajaran berasaskan perkhidmatan dalam kalangan pelajar FSMP khususnya bagi Program Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian.
‘‘Selain itu, melalui penyelarasan penyelidikan dan pembangunan Makmal Hidup NICE, jalinan kerjasama ini dilihat mampu mengenalpasti dan menangani isu-isu pemakanan semasa dalam komuniti terutamanya beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan.
“Pendekatan model sosial-ekologi boleh diterapkan dalam penyelidikan yang akan dijalankan bagi mengenalpasti pelbagai faktor yang mempengaruhi amalan pemakanan dan gaya hidup, sekali gus membolehkan intervensi yang bersesuaian dan berkesan dapat dilaksanakan.
‘‘Di samping itu, kerjasama ini turut berupaya meningkatkan pengetahuan, kemahiran praktikal, dan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dunia sebenar dalam kerjaya sebagai ahli pemakanan profesional yang kompetitif dalam sektor sains kesihatan.’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Progam Pemakanan UMS, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir berkata program NICE merupakan satu program yang memberi impak kepada komuniti yang terlibat.
“Sehingga kini, Program Pemakanan telah menjangkau 173 orang mahasiswa, dan telah melahirkan seramai 72 graduan dan Ahli Pemakanan yang sedang bergiat aktif dalam pelbagai sektor yang berkaitan.
“Setakat ini, dengan jumlah klien yang mencapai kira-kira 285 orang, tidak dinafikan bahawa program NICE mampu memantapkan lagi usaha untuk menangani penyakit-penyakit kronik yang berkaitan pemakanan secara menyeluruh dan berkesan demi kemakmuran bersama,” ujarnya.
Pada upacara pertukaran surat niat, UMS diwakili oleh Hasmadi manakala JHEAINS diwakili oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan), Haji Ahmad Haji Yusop yang dilaksanakan selesai Perasmian Penutupan Program NICE 2024.
Pada majlis tersebut juga, seramai 27 pelajar tahun akhir Program Pemakanan menerima sijil tamat khidmat komuniti selama 280 jam sepanjang empat tahun pengajian dan sebanyak sembilan buah keluarga yang merupakan komuniti NICE kohot 2021 telah menerima sijil penghargaan atas kejayaan melengkapkan Program NICE.