![]() |
Kasim (dua dari kiri) menyerahkan dokumen Kertas Dasar Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak kepada Mohamad Sobri - ihsan UMS |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyerahkan Kertas Dasar (Policy Paper) bagi Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN), yang dihasilkan menerusi kolaborasi penyelidikan dengan beberapa universiti awam sebagai usaha ke arah memperkukuhkan perpaduan negara.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor menyerahkan kertas dasar tersebut kepada Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud dalam satu acara yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS.
Terdahulu, Kasim merakamkan penghargaan kepada KPN atas kepercayaan yang diberikan kepada UMS untuk melaksanakan kajian berkaitan dasar pengukuhan perpaduan negara.
Menurut beliau, penyelidikan yang diketuai oleh ahli akademik dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Prof. Madya Dr. Suraya Sintang melibatkan kolaborasi antara UMS, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).
“Kajian ini berjaya diselesaikan dalam tempoh enam bulan dan berpotensi digunakan oleh KPN untuk memperkukuhkan dasar perpaduan negara dan meningkatkan hubungan toleransi antara masyarakat majmuk di Malaysia.
“Ini juga merupakan salah satu langkah untuk mengangkat keterlihatan UMS dan membuktikan kesarjanaan akademik UMS di pentas nasional,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan jaringan kerjasama antara universiti, industri dan agensi kerajaan bagi merealisasikan impak kajian yang lebih luas.
Kasim turut memaklumkan, hasil kajian pasukan penyelidik telah mendapat pengiktirafan apabila diminta untuk dibentangkan dalam Mesyuarat MexUnity (Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara Bersama Menteri Perpaduan Negeri Sabah dan Sarawak serta EXCO-EXCO Perpaduan Negeri) yang dipengerusikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
“Selain itu, dapatan kajian ini juga telah dibawa ke mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen.
“Justeru, atas kemampuan yang ditonjolkan oleh ahli akademik UMS, saya mengharapkan agar kerjasama bersama KPN dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Saya juga penuh yakin bahawa kerjasama penyelidikan yang sudah terbentuk antara UMS dengan UNIMAS, UKM dan UM dapat diperkasakan kerana berpotensi mengenal pasti “realiti sosial” baharu yang sedang dan akan muncul pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Sobri dalam ucapan pada majlis tersebut memaklumkan, kajian itu telah dibiayai menerusi peruntukan pembangunan daripada Kementerian Ekonomi di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12.
“Melalui kajian yang dilaksanakan, pasukan ini berjaya mewujudkan sebuah model kesepaduan sosial yang boleh dijadikan sebagai rujukan bagi meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.
“Dapatan kajian seterusnya boleh dijadikan penetapan hala tuju dan perancangan kementerian bagi memperkukuhkan Agenda Perpaduan Nasional.
“Besarlah harapan saya agar hasil dapatan kajian ini dapat dijadikan sebagai rujukan bagi mewujudkan ekosistem perpaduan dan tapak integrasi yang lebih kukuh di Semenanjung,” ujar beliau.