Warga emas memandu mabuk kena jel 30 hari, denda RM10,000

Lim Shui Sang, 65, dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM10,000 atas kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan, Julai lalu.

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM10,000 keatas seorang lelaki warga emas selepas mengaku bersalah memandu dibawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan sehingga mengakibatkan kemalangan, Julai lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas menerima pengakuan bersalah 

Lim Shui Sang, 65, dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 .

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki warga emas yang bekerja sebagai tukang masak itu didakwa memandu dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol sebanyak 167 miligram (mg) / 100 mililiter (ml) dalam darahnya melebihi had yang dibenarkan di Simpang Lorong Delima, di sini, jam 7.30 malam, 21 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) didapati telah melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki di lokasi kejadian sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P. Kang.

Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya berkata tertuduh dalam kes yang sama telah mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 18K Kanun Keseksaan dan Seksyen 152(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pada 21 Ogos 2024.

Katanya, bagi kedua-dua kesalahan itu tertuduh telah didenda masing-masing RM1800, gagal bayar lima bulan penjara dan denda RM1700 gagal bayar tiga bulan penjara.

"Dengan hukuman yang diterima tertuduh hari ini, diharap menjadi pengajaran berguna untuk menimbulkan keinsafan dalam dirinya supaya tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh dalam rayuan mitigasinya memohon hukuman ringan mengambil kira faktor umur selain masalah kesihatan yang dihidapi anak guamnya.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 serta 30 sehari berkuat kuasa pada hari sabitan, hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayarnya serta lesen digantung selama dua tahun juga bermula hari sabitan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama