![]() |
DUIT RAYA...Limus (tiga dari kanan) menyampaikan duit raya kepada golongan kanak-kanak. |
KUALA PENYU: Seramai 1,136 orang asnaf dan 3,324 Ketua Isi Rumah (KIR) dari sekitar Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Membakut menerima sumbangan sempena bulan Ramadan.
Sumbangan berupa bakul makanan serta wang tunai tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kuala Penyu dan Menumbok di Masjid Nurul Hayat Pekan Kuala Penyu, pada Jumaat malam.
Pada majlis itu, Limus juga menyampaikan sumbangan tabung kepada masing-masing 22 pengerusi masjid dan 22 pengerusi surau, di samping sumbangan kepada kakitangan JHEAINS Kuala Penyu dan Menumbok.
Turut disumbangkan, wang tunai kepada Pelajar Kelas Pendidikan Mualaf Kampung Menunggang, para pelajar Maahad Tahfiz Saad Abi Waqas Kampung Gorowot dan sumbangan pembinaan dapur Masjid Nurul Hayat Pekan Kuala Penyu.
Ketika berucap dalam program berkenaan, Limus turut meluluskan beberapa lagi permohonan masyarakat setempat termasuklah sumbangan tangki air, meja serta kerusi pelajar dan peruntukan sambutan Hari Raya Aidilfitri pihak masjid.
Tidak ketinggalan, golongan kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah menerima duit raya daripada Limus.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)