![]() |
Pasukan keselamatan membantu menurunkan penduduk terjejas banjir di pusat penempatan sementara (PPS). |
KOTA KINABALU: Banjir di Sabah terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan 1,248 penduduk setakat jam 8.00 pagi ini.
Menurut la Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Kota Marudu mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 957 orang daripada 311 Ketua Isi Rumah (KIR).
Tiga PPS dibuka di Kota Marudu untuk menempatkan mangsa banjir yang terkesan, menjadikan daerah ini paling teruk dilanda bencana.
“PPS Sekolah Kebangsaan Teritipan menempatkan sebanyak 709 mangsa daripada 222 ketua isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Bengkongan kini menempatkan seramai 212 mangsa daripada 70 Ketua Isi Rumah (KIR), manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek mencatat peningkatan jumlah mangsa dengan 36 individu daripada 19 KIR.
Selain itu, daerah lain yang turut terjejas termasuk Beluran, Sandakan, dan Paitan.
Manakala, PPS di Beluran seperti PPS Dewan Kampung Balaban Jaya dan PPS Dewan Kampung Sungai Nangka kini menampung 92 mangsa dan PPS di Sandakan iaitu PPS Masjid Nur Iman dan PPS Masjid Nurul Iman menempatkan 132 mangsa.
Menurut laporan itu, trend pemindahan mangsa di Kota Marudu menunjukkan peningkatan, manakala trend di daerah lain kekal tidak berubah.