51 mangsa banjir Keningau terima BWI

 

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada para penerima.

KENINGAU: Seramai 51 mangsa banjir yang berlaku pada awal Mac lepas menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI).

BWI tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Dewan Kompleks Sukan Keningau.

Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadir Tang, berkata tahun 2025 merupakan tahun kedua kerjasama antara UPPM dan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad dalam penganjuran majlis berbuka puasa ini.

"Keningau merupakan lokasi ke-16 dalam siri jelajah iftar anjuran UPPM, yang telah bermula pada awal Ramadan di daerah Kudat dan dijadualkan berakhir di daerah Papar.

"Semoga penganjuran majlis sebegini dapat menjadi platform untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sayangi Sabah yang diilhamkan sendiri oleh Ketua Menteri," katanya dalam ucapannya.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada para penerima.

Dalam majlis yang sama, seramai 100 asnaf, anak yatim, dan ibu tunggal menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 setiap seorang.

Selain itu, sebanyak 61 masjid dan surau di sekitar Bingkor dan Liawan turut menerima sumbangan bagi menganjurkan program berbuka puasa di kawasan masing-masing.

Datuk Awang turut menzahirkan penghargaan kepada Sawit Kinabalu, Jetama Water Sdn Bhd, Sabah Softwoods Berhad, Qhazanah Sabah Berhad, dan Benta Wawasan Sdn Bhd atas sumbangan yang diberikan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman. 

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama