TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan bernilai RM50,000 dalam kejadian di perairan Batu 3 Jalan Apas, Tawau, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata semua rampasan itu dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia menerusi Ops Khas Pagar Laut, kira-kira jam 10.40 malam.
Katanya, sebelum itu, sebuah bot kargo dikesan bergerak laju menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
“Pasukan operasi bertindak memintas bot kargo berkenaan dan menjalankan pemeriksaan ke atas juragan serta barang-barang yang dibawa.
“Hasil siasatan awal, pasukan operasi mendapati bot kargo berkenaan dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun.
“Pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 680 pek minyak masak dan 28 unit tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berkaitan barangan yang dibawa, selain tidak mempunyai daftar nama di dalam lesen bot berkenaan.
“Juragan serta barang rampasan termasuk bot yang dianggarkan berjumlah RM50,000 disita dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya
Shahrizan berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan penyeludupan barangan berkenaan ke negara jiran bagi pasaran luar semasa musim perayaan.
Katanya, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik sindiket penyeludupan barangan bersubsidi ini.
“Penguatkuasaaan semasa musim perayaan akan diperkasa secara optimum dengan rondaan dan pemantauan lebih kerap di kawasan titik panas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara,” katanya.