![]() |
Yaakob ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dibangunkan Sabah Electricity Sdn Bhd berkapasiti 100 megawatt (MW) dijangka beroperasi pada Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata projek yang mula dibangunkan pada September 2024 itu merupakan yang terbesar di Malaysia juga Asia Tenggara.
“Projek yang dibina di Lahad Datu ini akan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui terutamanya apabila ianya menggunakan solar.
“Kita dapat memberikan jaminan dengan adanya bateri ini nanti bekalan kepada pengguna di pantai timur Sabah yang dikatakan berkurangan sedikit sebanyak dapat diatasi,” katanya ketika ditemui media selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Sri Kinabalu, hari ini.
Menurut beliau tujuan kunjungan ini adalah bagi melakukan penyerahan zakat perniagaan daripada keuntungan bagi tahun 2023 kepada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bernilai RM3.85 juta.
Selain itu, Yaakob menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati melakukan pendawaian di rumah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
“Dalam bulan ramadan banyak kes-kes kebakaran yang diakibatkan oleh litar pintas. Oleh itu, kami nasihatkan agar pengguna hanya memanggil kontraktor yang bertauliah,” ujar beliau.
Terdahulu, Tun Musa turut menyaksikan Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan anak syarikat menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2024 bernilai RM300 ribu kepada MUIS yang disampaikan oleh Pengerusi SEDCO, Datuk Rubin Balang.
Jelas Rubin, penyerahan zakat ini adalah sebahagian daripada komitmen SEDCO dan anak syarikat dalam menyokong pembangunan sosioekonomi serta membantu golongan yang memerlukan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)