![]() |
Majlis Sentuhan Lebaran Ceria 2025 anjuran Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Apas, di sini semalam. |
TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerusi Sayap Beliawanis kini giat memperkemaskan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata peranan beliawanis sangat penting dalam mendekati pengundi muda, khususnya mereka yang bakal mengundi buat kali pertama.
Katanya, sejak pelaksanaan Undi18, jumlah pengundi muda semakin bertambah dan menjadi kumpulan yang berpengaruh dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri Sabah.
Justeru katanya, jentera Beliawanis Gagasan Rakyat mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program bagi memastikan golongan ini tidak terpinggir daripada pembangunan negara.
“Kita melihat di Sabah, khususnya dalam Gagasan Rakyat, Beliawanis telah memainkan peranan aktif untuk mendekati anak muda termasuk ‘first-time voters’.
“Di kawasan Apas, misalnya, banyak aktiviti dan program telah diadakan untuk merapatkan jurang antara belia dengan kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sentuhan Lebaran Ceria 2025 anjuran Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Apas, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Apas, Nurul Afiqah Afendi.
Sementara itu, Nizam turut turut memuji usaha kerajaan negeri dalam menyediakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa generasi muda.
“Kita dapat melihat pelbagai program latihan bagi graduan yang memberi peluang kepada mereka untuk bekerja di kementerian sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan sebenar.
![]() |
Nizam beramah mesra bersama anak-anak yatim |
“Selain itu, kerajaan negeri juga turut menyediakan bantuan modal keusahawanan secara ‘one-off’ sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 bagi membantu usahawan muda memulakan perniagaan.
“Semua inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan memastikan belia Sabah mendapat peluang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai inisiatif kerajaan yang memberikan bantuan perjalanan pulang sebanyak RM300 kepada pelajar di Sabah untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya, yang sebelum ini hanya diberikan kepada pelajar di luar negeri.
“Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat. Dengan kestabilan politik yang ada, kerajaan dapat terus memberikan manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.
Menjelang PRN Sabah, Nizam yakin bahawa gerak kerja Beliawanis Gagasan Rakyat akan terus diperkasakan bagi memastikan generasi muda terlibat secara aktif dalam proses demokrasi negeri.
“Kita mahu anak muda sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada pembangunan Sabah. Dengan semangat kebersamaan, kita akan terus bergerak ke hadapan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.