![]() |
Foto Ihsan: JIM Sabah. |
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) menghantar pulang 612 pendatang tanpa izin (PATI) Indonesia ke negara asal melalui pelabuhan Tawau, semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua PATI tersebut dihantar pulang melalui jalan laut menggunakan feri Labuan Express dan Francis Express menuju ke Pulau Nunukan, Indonesia.
Tambahnya, kesemua PATI terlibat adalah berumur dalam lingkungan 8 bulan sehingga 67 tahun dan merupakan tahanan daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.
"Kesemua PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan serta mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah dan dikeluarkan oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, JIM Sabah menegaskan komitmen untuk tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar peraturan imigresen.
Katanya, majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas sah akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, JIM Sabah menyeru masyarakat, khususnya majikan, untuk memastikan semua pekerja asing yang diambil bekerja mematuhi saluran sah yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini,” tambahnya.