![]() |
Foto ihsan: Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) lebih cenderung membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) berbanding memikirkan soal pengagihan kerusi.
Presidennya, Tan Sri Anifah Aman berkata, sebagai parti komponen, keutamaan PCS ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan GRS pada pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.
"Peranan PCS sekarang adalah kita menyokong dalam GRS. Soal (pengagihan) kerusi tidak penting sebenarnya. Soal menang yang lebih penting. Tidak ada gunanya saya menang kalau parti kalah.
"Jadi kalau tiada kerusi pun tiada masalah sebenarnya. Saya sudah (pernah) jadi Ahli Parlimen, sudah (pernah) jadi menteri, senator.
"Kita bersyukur kepada Allah. Kalau boleh berkhidmat lagi (untuk) membantu, saya bantu. Kalau tidak, saya kata terima kasih banyak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pembrita selepas program Majlis Iftar Invest Sabah Berhad bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Kimanis itu turut ditanya pemberita sekiranya beliau mensasarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu menjelang PRN17 kelak khususnya kerusi DUN Bongawan yang pernah ditandingi olehnya ketika Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) pada tahun 2020.
Walau bagaimanapun, Anifah menjelaskan belum ada sebarang keputusan dibuat berkaitan perkara itu.
"Jadi kita tengok dahulu, saya tidak boleh cakap tidak, saya tidak boleh cakap ya. Tetapi jika saya boleh berkhidmat kepada negeri dan rakyatnya, Insya-Allah (kemungkinan akan bertanding).
"Kalau tidak, sokong kerja (gerak kerja) GRS kerana itu alternatif yang terbaik dan itulah pilihan yang terbaik," katanya.
Selain PCS, antara parti yang menganggotai GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).