![]() |
SIMBOLIK... Hajiji (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci Rumah Mesra SMJ kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Shahelmey, Arifin (dua dari kanan) dan Masawi (kanan). |
PUTATAN: Kerajaan negeri terus komited memperkasa pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan penduduk Putatan melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata projek-projek tersebut akan memberi manfaat besar kepada sekitar 80,000 penduduk daerah Putatan.
"Setakat ini, sebanyak 61 buah Rumah Mesra SMJ telah siap dibina dan diduduki sejak 2022 hingga 2024.
"Disamping itu, pada tahun ini 40 unit tambahan akan dibina untuk memenuhi keperluan penduduk yang memerlukan," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Sabah di Masjid Daerah Putatan, di sini pada Rabu.
![]() |
Shahelmey ketika menjelaskan cadangan pembinaan Rumah Mesra SMJ secara bertingkat sebagai alternatif kepada masalah keterbatasan ruang tanah |
Beliau turut memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Kecemasan (EWSS) Kasigui yang mampu memproses lima juta liter air sehari, dijangka siap pada bulan Mei ini dan dijangka dapat menambah kestabilan bekalan air bersih untuk penduduk Putatan dan selatan Kota Kinabalu.
Selain itu, dua projek bangunan penting juga sedang dibina iaitu Mahkamah Anak Negeri Daerah Putatan dijangka siap pada penghujung tahun ini manakala Bangunan Majlis Daerah Putatan kini memasuki fasa pembinaan.
"Projek-projek ini bertujuan menambah baik kemudahan sedia ada dan memastikan perkhidmatan kepada masyarakat lebih cekap dan sistematik," jelasnya.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan menyatakan kerajaan negeri turut menyokong terhadap permohonannya bagi mendapatkan 1,000 unit rumah di bawah projek Perumahan Rakyat Malaysia (PRM) yang akan dibina di Lok Kawi, bagi membantu lebih ramai penduduk Putatan memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik.
Beliau turut mencadangkan supaya Dewan Mini Pasir Putih dinaik taraf bagi meningkatkan kegunaannya, selain mencadangkan pembinaan satu hingga dua dewan baharu untuk memenuhi keperluan aktiviti masyarakat yang semakin meningkat.
"Putatan adalah daerah yang padat penduduk yang memerlukan lebih banyak ruang bagi penduduk untuk melakukan aktiviti sosial dan kemasyarakatan.
"Disamping itu juga, bagi mengatasi kekurangan ruang tanah di kawasan padat seperti Putatan, Tanjung Aru, dan Luyang saya mencadangkan agar Rumah Mesra SMJ dibina secara bertingkat bagi bagi membolehkan lebih ramai penduduk yang layak memiliki rumah sendiri di kawasan yang mempunyai keterbatasan tanah,"ujarnya.
Beliau juga mencadangkan kajian menyeluruh terhadap sistem perparitan daerah Putatan bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang sering melanda, terutamanya ketika musim tengkujuh.
"Kajian ini penting untuk memastikan kebajikan dan keselamatan penduduk terus terjaga," katanya.
Majlis berbuka puasa tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang turut sudi menyampaikan sumbangan kepada 75 orang asnaf serta penyerahan kunci kepada 18 penerima Rumah SMJ daerah Putatan dengan kehadiran lebih 600 penduduk setempat.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)