KOTA KINABALU: Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) disaran merombak pengurusan bagi membuktikan kemampuan mereka menampung kontrak pembekalan pakaian dan kasut sekolah kepada kerajaan negeri.
Pengerusi KOSAN, Datuk Ellron Angin berkata, kontrak pembekalan itu masih berjalan sehingga hujung tahun ini, namun sebarang sambungan bergantung kepada keupayaan koperasi tersebut untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan.
"Kita ada bincang dalam Jemaah Menteri tadi bahawa kita masih lagi memberi peluang kepada KOSAN, mereka perlu merombak dan memperbaiki syarikat di bawah koperasi.
"Jika mereka dapat membuktikan kemampuan menampung kontrak seperti sebelum ini, mungkin kita akan pertimbangkan lagi,” katanya dalam sidang media di Wisma Muis, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pemberhentian operasi dua kilang KOSAN di Tuaran dan Papar yang menyebabkan 230 pekerja kehilangan pekerjaan.
Mereka terdiri daripada 134 pekerja di kilang pakaian Tuaran, 69 pekerja kilang kasut Papar, serta kakitangan ibu pejabat KOSAN.
Penutupan operasi tersebut dikaitkan dengan masalah kewangan ekoran ketiadaan pembeli sejak hujung tahun lalu.
Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sebelum ini KOSAN diberikan kontrak di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) untuk membekalkan pakaian dan kasut sekolah kepada lebih 287,000 murid seluruh Sabah.
Namun, katanya, terdapat pelbagai rungutan daripada ibu bapa mengenai kualiti produk termasuk kasut yang tidak selesa dan pakaian yang panas.
"Justeru, kita perlu buat keputusan terbaik bagi memastikan keperluan murid dapat dipenuhi, kita akan menilai semula perkara ini kerana kontrak akan tamat hujung tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Henry Idol berkata, KOSAN masih berpeluang menyertai tender terbuka sekiranya kontrak tidak disambung.
Kontrak sekarang berjalan selama dua tahun dengan KOSAN, tetapi kerajaan tetap akan melaksanakan tender terbuka untuk setiap kontrak, dalam tempoh itu, KOSAN boleh menyertainya,” tambahnya lagi.