Penentuan calon hak parti, Jeffery Nor beritahu Shahelmey

Jeffery sewaktu ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Putatan, di Pan Borneo Hotel pada Rabu.

PUTATAN: Ketua Bahagian UMNO P.173 Putatan, Jeffery Nor Mohamed, menegaskan bahawa penentuan calon pilihan raya adalah hak mutlak parti dan bukan individu.

Beliau berkata, mana-mana penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menyerahkan semula mandat kepada parti apabila tiba musim pilihan raya bagi membolehkan kepimpinan menentukan calon yang paling layak.

"Hak untuk mencalonkan ini adalah hak parti, jadi, siapa sahaja yang pernah menjadi YB, apabila tiba waktu pilihan raya, mereka perlu mengembalikan kerusi itu kepada parti.

“Biar parti menentukan siapa yang akan dicalonkan untuk bertanding di DUN-DUN tersebut," katanya semasa Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Putatan, pada Rabu.

Pertandingan di DUN Tanjung Keramat dijangka sengit susulan pengumuman Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang menamakan Jeffery sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan tersebut.

Bagaimanapun penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya memberi bayangan untuk terus mempertahankan kawasan yang diwakilinya.

Dalam pada itu, Jeffery memaklumkan UMNO Putatan telah merangka manifesto kecil yang memberi fokus kepada pembangunan di kawasan Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat.

"Kami telah merancang manifesto kecil, khusus untuk Parlimen dan juga Tanjung Keramat. Insya-Allah, ini tawaran kami semasa pilihan raya negeri akan datang, dan kemungkinan besar ia akan menjadi tawaran paling popular di Tanjung Keramat. Perinciannya akan diumumkan kemudian," katanya.

Beliau berharap tawaran yang dirangka dapat diterima oleh masyarakat setempat dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama