Polis tahan lelaki masalah mental cabut batu nisan

 


TAWAU : Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat merosakkan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Bombalai Laut, Kampung Sungai Imam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi berkata tangkapan dijalankan susulan laporan berhubung kejadian itu jam 8.37 pagi tadi.

Menurutnya, berikutan laporan itu sepasukan anggota dari balai polis Bombalai pihaknya berjaya menahan suspek di rumahnya kira-kira jam 2 petang tadi.

"Siasatan awal mendapati lelaki tempatan berumur 35 tahun itu dipercayai mempunyai masalah mental.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan lebih 20 batu nisan ditemukan dicabut di Tanah Perkuburan Islam Bombalai Laut, Kampung Sungai Imam, di sini, dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, seorang lelaki yang menziarahi tanah perkuburan itu terkejut dan kecewa dengan perbuatan khianat yang dipercayai dilakukan secara sengaja.

Katanya, selain dicabut terdapat juga batu nisan yang dipecahkan manakala selebihnya dilonggokkan di satu kawasan.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui siapa yang melakukan perbuatan itu dan memohon kepada waris yang berkenaan supaya datang ke tanah perkuburan itu untuk membuat pemeriksaan.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama