Tiga lelaki disyaki curi kabel TM ditahan


PENAMPANG: Polis berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi kabel Telekom yang berlaku di daerah ini.

Suspek warga tempatan berusia 23 hingga 30 tahun itu juga turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kegiatan curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang dilakukan oleh suspek terbabit.

Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang menjalankan operasi mencari suspek di daerah ini.

“Pasukan operasi berjaya menahan ketiga-tiga suspek terbabit semalam yang disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri kabel tersebut.

“Polis turut merampas beberapa barangan termasuk kabel Telekom dan pemotong besi yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sammy menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah agar segera melaporkannya ke balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama