YBR sumbang RM230,000 kepada sekolah-sekolah di Penampang

 

Ewon (tengah) menyerahkan replika cek berjumlah 230 ribu kepada Philip ( dua dari kanan).

PENAMPANG:  Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyumbangkan RM230,000 kepada 28 sekolah di kawasan Penampang termasuk yang menawarkan program pendidikan khas.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata setiap sekolah menengah menerima bantuan RM10,000 manakala sekolah rendah menerima bantuan RM5,000. 

“Manakala dua sekolah menengah dan lima sekolah rendah yang melaksanakan program pendidikan khas (PPKI) turut menerima tambahan bantuan RM10,000 setiap sekolah.

“Pemberian bantuan ini merupakan komitmen saya dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya Bank Rakyat dan YBR menggerakkan program pembangunan pendidikan di sini,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Aktiviti YBR Kepada Sekolah-Sekolah di kawasan Penampang.

Menurut Ewon, pemberian bantuan tersebut telah dimulakan sejak tahun 2023 dan dilaksanakan setiap tahun sehingga kini di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP).

“Saya berharap ini dapat membantu pihak sekolah, guru-guru dan PIBG dalam melengkapkan usaha the whole government approach pembangunan sektor pendidikan negara,” katanya ketika ditemui media di Sk St Theresa, pada Khamis.

Sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau turut meluluskan peruntukan RM50,000 di bawah peruntukan Ahli Parlimen kepada SK St Theresa Inobong bagi membantu keperluan kelengkapan di sekolah seperti yang dipohon oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang, Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, Pengerusi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Datuk Donald Peter Mojuntin, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Francis Chong, Pegawai Pendidikan Penampang Rusmadi Ahmad dan Ketua Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama