15 warga asing tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan

15 warga asing ditahan di kawasan Perairan Kudat. 

KOTA KINABALU: Seramai 15 warga asing ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam dua operasi berasing di Kudat, semalam.

Semua tangkapan dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat Wilayah 4 Sabah menerusi Op Taring Gelora di daerah Kudat.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing.

Katanya, sebelum itu, anggota PPM yang menjalankan tugas Op Taring Gelora di perairan Kudat mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di laut Mangsee Reef.

“Anggota PPM bertindak menahan bot berkenaan dan mendapati terdapat seorang lelaki yang bertindak sebagai juragan bot.

“Dalam operasi berasingan, seramai 14 lagi pekerja warga asing ditahan di Jeti Merak Hati Kudat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Nazri berkata hasil pemeriksaan lanjut, semua tangkapan terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63

Sementara itu, katanya, semasa menjalankan Op Taring Landai, anggota PPM Lahad Datu Wilayah 4 Sabah menahan sebuah kenderaan jenis Isuzu, di daerah Lahad Datu.

Katanya, kenderaan tersebut dipercayai membawa minyak diesel dan cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Pemandu kenderaan terbabit ditahan, manakala semua barang kes yang dianggarkan bernilai RM122,469.96 dirampas dan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama