152 ditahan berkait kes dadah sepanjang operasi di Sandakan

Rampasan sejumlah 1.3 kilogram dadah, termasuk syabu, serbuk serta pil ekstasi, ketamin, dan cecair ‘Vape Mushroom. 


SANDAKAN: Sebanyak 152 individu telah diberkas atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Operasi Tapis Khas yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan selama sebulan bermula 20 Mac itu berjaya menemui dan merampas sejumlah 1.3 kilogram dadah, termasuk syabu, serbuk serta pil ekstasi, ketamin, dan cecair ‘Vape Mushroom’.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memaklumkan bahawa operasi melibatkan 15 pegawai dan anggota serta dijalankan di 10 lokasi yang telah dikenalpasti sebagai kawasan panas.

“Kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 30A(1), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan sitaan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Hak Harta) 1988 juga telah diambil, melibatkan lima buah kenderaan, lapan barangan kemas dan sejumlah wang tunai.

“Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan mencecah RM350,000,” tambah beliau.

Ahsmon turut mendedahkan bahawa sejak tahun 2023, sebanyak 4,167 tangkapan berkaitan dadah telah dibuat di daerah Sandakan purata lima tangkapan setiap hari.

Beliau turut menyeru orang awam agar tampil membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah di kawasan mereka.

“Maklumat boleh disalurkan melalui Kod QR, aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), laman Facebook rasmi IPD Sandakan atau terus ke balai polis berhampiran,” katanya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama