KOTA KINABALU: Ribuan pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025M/1446H di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman dan isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin.
Majlis itu yang dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf daripada 9 buah institusi kebajikan sekitar kawasan pantai barat.
Dalam ucapannya semasa beramah mesra dengan para pengunjung, Hajiji mengajak rakyat berbilang kaum menggunakan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan lagi perpaduan dan persefahaman.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey G.Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam dan Datuk Ir.Shahelmey Yahya serta menteri-menteri kabinet negeri.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025 dihadiri oleh kira-kira 20 ribu pengunjung itu, diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian.
Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah Raya termasuk hidangan tradisi lemang, ketupat dan sate serta pelbagai jenis kuih-muih.