580 calon SPM 2024 Sabah perolehi keputusan cemerlang - Raisin

Raisin Saidin ketika ditemui pemberita selepas Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia Tahun 2024 bertempat di Wisma Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. 
 

KOTA KINABALU: Seramai 580 orang calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah berjaya memperolehi keputusan cemerlang melibatkan gred A+, A dan A- dalam semua subjek pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin berkata jumlah terbabit mengalami peningkatan berbanding pada tahun lepas.

Menurutnya, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki meningkat dari 484 calon (1.38 peratus) pada tahun 2023 kepada 580 calon (1.65 peratus) pada tahun 2024 iaitu peningkatan seramai 96 calon (0.24 peratus).

"Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 3,437 calon (9.75 peratus) pada tahun 2024 berbanding 5,046 calon (14.37 peratus) pada tahun 2023.

Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,609 calon (4.62 peratus).

"Manakala seramai 13,265 calon (37.64 peratus) telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2024 berbanding 12,710 calon (36.18 peratus ) pada tahun 2023.

"Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 555 calon (1.46 peratus) berbanding tahun 2023," katanya.

Dalam pada itu, Raisin berkata secara keseluruhan, nilai GPN pencapaian calon SPM 2024 di Sabah direkodkan sebanyak 5.00 mata berbanding 5.09 mata pada tahun 2023, iaitu mengecil sebanyak 0.09 mata.









Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama