623 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal


SANDAKAN: Seramai 623 warga Filipina telah dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pemindahan Tahanan PATI oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, pemindahan itu dilakukan menerusi Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina.

Katanya, ia melibatkan 483 lelaki, 80 wanita dan 60 kanak-kanak termasuk bayi berusia 11 bulan sehingga warga emas berumur 79 tahun.

“Kesemua tahanan terbabit sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Papar dan Sandakan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Kesalahan tersebut termasuklah memasuki negara tanpa pas atau permit yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua PATI terbabit telah menjalani hukuman penjara dan hanya dibenarkan kembali ke negara asal selepas melengkapkan semua proses dokumentasi yang diperlukan.

Tambah beliau, semua nama tahanan yang terlibat telah disenaraihitamkan dalam sistem Imigresen berdasarkan kesalahan masing-masing, sekali gus menyekat kemasukan mereka semula ke Malaysia secara sah pada masa hadapan.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses penghantaran pulang ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat dengan Kedutaan Republik Filipina yang menyediakan dokumen perjalanan rasmi kepada semua tahanan terbabit.

“Sehingga kini, sebanyak 3,993 warga Filipina telah dihantar pulang melalui pintu masuk negeri Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan warga asing dipindahkan menerusi program ini mencecah 4,834 orang.

“JIM Sabah turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas, termasuk pendakwaan, akan diambil terhadap mana-mana individu, majikan atau pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah, selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 dan peraturannya.

“Majikan disarankan untuk sentiasa menggunakan saluran sah dalam pengambilan pekerja asing bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang serta menyokong usaha kerajaan mengurus kemasukan warga asing secara tersusun dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, usaha membanteras kehadiran PTI akan terus diperkasakan melalui operasi penguatkuasaan yang berterusan di seluruh negeri Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama