88 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Semporna

 

Antara PATI yang ditahan dalam Ops Mahir yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, di Semporna awal pagi tadi. Foto | Ihsan JIM Sabah.

TAWAU : Seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Mahir selama dua hari di Semporna yang berakhir awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula 8 pagi pada Rabu hingga 4 pagi tadi, tangkapan membabitkan 78 warga Filipina, China (empat) dan masing-masing tiga warga Pakistan dan Indonesia termasuk 20 kanak-kanak berusia tiga hingga 65 tahun berjaya ditahan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan rumah setinggan di Jalan Bugaya, Jalan Bubul Lama, Jalan Tagasan dan Kampung Damai selain tapak pembinaan di Semporna.

Menurutnya, kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan Imigresen termasuk tiada dokumen dan tinggal di negara ini melebihi masa selain pas lawatan tamat tempoh.

"Ketika pemeriksaan dijalankan pelbagai helah dan taktik digunakan bagi mengelak untuk ditahan anggota penguat kuasa termasuk ada yang sanggup bersembunyi di dalam almari pakaian yang dikunci dari luar.

"Malah, ada dikalangan PATI terbabit bertindak memotong pokok dan meletakkan lori bagi menghalang laluan kenderaan anggota penguat kuasa untuk masuk ke kawasan penempatan setinggan terbabit," katanya katanya sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam operasi itu juga, pihaknya turut menahan empat lelaki warga China yang sebelum ini datang sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh pada 18 Mac dan sepatutnya pulang ke negara asal dalam tempoh 30 hari.

Bagaimanapun katanya, hasil semakan mendapati mereka masih terus berada di sini walaupun pas khas yang dikeluarkan tamat pada 19 April lalu tetapi mereka menyalahgunakan paspot dengan bekerja di pusat peranginan tanpa permit sah.

"Kesemua PATI itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa operasi penguatkuasaan oleh JIM Sabah dipengaruhi faktor tertentu termasuk menjelang pilihan raya negeri akan datang sebaliknya menegaskan ia dibuat kerana komitmen dan tugas rutin pihaknya tanpa mengira masa.

"Tuduhan atau tomahan seperti yang didakwa itu tidak berasas dan JIM Sabah akan terus komited dalam memikul amanah diberikan termasuk menangani kehadiran PATI di negeri ini," tegasnya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama