![]() |
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali. |
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan harapannya agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan skandal perlombongan mineral melibatkan beberapa pemimpin negeri ini.
Memetik sumber Malaysiakini, disamping menggesa agar SPRM mengumumkan hasil siasatan dengan kadar segera, beliau juga berkata rakyat perlu tahu keputusan siasatan tersebut sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan bila-bila masa pada tahun ini.
“Saya harap segala siasatan dapat berjalan dengan segera dan kita dapat tahu apa jua tindakan dan hasil siasatan. Dengan itu kita akan tahu keadaan sebenar.
“(Saya harap) secepat mungkin. Saya rasa penting untuk rakyat tahu kebenarannya,” katanya," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu skandal rasuah di Sabah dan rancangan susulan pihaknua untuk menangani kesan perkara terbabit menjelang PRN.
Pada tahun lalu, dilaporkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah didakwa terlibat dalam rasuah berkaitan lesen penerokaan mineral menerusi video sehingga tular di laman media sosial.
Pada Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya sedang menunggu laporan analisis forensik video tersebut.
Dalam pada itu, Armizan turut ditanya sekiranya kerajaan negeri yang ditetajui GRS mempunyai cadangan untuk membubarkan DUN lebih awal disamping jika ada satu tarikh tertentu telah ditetapkan.
Mengulas lanjut, beliau mengakui terdapat pelbagai cadangan yang diutarakan.
“Ada kata nak (bubar) awal, ada yang cadang lepas Pesta Kaamatan (pada akhir Mei).
“Ada yang kata lebih baik (tunggu) lepas kerajaan umum Belanjawan 2026. Ada juga yang kata biarlah tempoh penggal habis (baru bubar),” katanya.
Sementara itu, Armizan juga menyuarakan harapannya agar semua parti dan ahli politik di Sabah bersatu.
Katanya, Sabah akan menjadi lebih kuat dan ada kuasa tawar-menawar yang lebih besar jika pelbagai parti dapat bersatu di bawah satu gabungan, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau dalam pada juga bersetuju Sabah tidak setegas Sarawak dalam menuntut hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya rasa antara sebabnya adalah kita terpecah, tiada satu suara. Kalau satu pihak bersuara, pihak lain tak akan sokong.
“Jadi bila tidak ada suara yang kuat dan bersatu, maka sukar untuk kita bangkitkan syor dan pandangan kepada kerajaan Persekutuan, untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, beliau berharap Sabah memiliki gabungan yang bersatu hati seperti GPS dalam tempoh terdekat namun pada masa sama turut mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.
Menurutnya, Sabah berbeza dengan Sarawak memandangkan kerajaan negerinya turut dianggotai parti dari Semenanjung.
“Saya harap semua pemimpin di Sabah, pada satu masa, dapat duduk bersama. Mereka boleh bekerja bersama dalam satu gerakan.
“Kalau kita sayang dan nak pelihara hak serta kepentingan Sabah, kita tidak boleh ada perpecahan,” katanya.