Bendung permintaan dan penawaran dadah haram di Sabah - Ketua Menteri


KOTA KINABALU: Usaha bersepadu harus diambil untuk mengurangkan bilangan penagih dadah dan pengguna bahan terlarang di Sabah dengan membendung permintaan dan penawaran dadah haram, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata Sabah merekodkan peningkatan sebanyak 7.5 peratus dalam jumlah penagih dadah dan pengguna bahan terlarang dengan 9,207 dikesan tahun lalu berbanding 8,567 pada tahun 2023, tetapi angka ini hanya mewakili 4.8 peratus daripada statistik nasional. 

“Sabah telah mencatatkan kadar penagihan sebanyak 246 selari dengan sasaran nasional iaitu tidak lebih daripada 400 penagih dan penyalah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk. 

“Angka-angka ini menunjukkan peningkatan di seluruh negara dan hampir semua negeri. Trend peningkatan ini menjadi cabaran dan kebimbangan kepada kita semua. Usaha berterusan dan bersepadu perlu digembeleng untuk menangani masalah ini, terutamanya dalam mengekang penawaran dan permintaan dadah di negeri ini,” katanya. 

Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri (MTMD) di Menara Kinabalu hari ini, Hajiji berkata untuk tahun ini, fokus akan diberikan untuk menghijaukan dua kawasan berisiko tinggi, iaitu Penampang dan Balung di Tawau. 

“Bagi memastikan kita berjaya mencapai penghijauan kawasan Penampang dan Balung, Presiden Majlis Perbandaran Penampang dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau yang merupakan pengerusi MTMD daerah telah dilantik sebagai penyelaras kawasan berisiko tinggi di daerah masing-masing,” katanya. 

Beliau berkata usaha juga akan diambil untuk mengekalkan status “hijau” tujuh kawasan berisiko tinggi, iaitu Likas, Inanam, Luagan, Patikang dan Tuarid Taud, Tanjung Batu dan Merotai.

Dua kertas kerja dibentangkan, termasuk untuk program perintis “Kampung Sejahtera Tanggungjawab Bersama” oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah dalam mesyuarat berkenaan. 

"Saya menyeru agar semua ahli yang hadir dapat memberi perhatian dan mengambil peluang untuk mengutarakan pandangan serta syor yang boleh dilaksanakan dalam usaha membanteras permasalahan dadah di Negeri Sabah bagi mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025," katanya. 

Beliau berkata dadah masih merupakan Musuh Nombor 1 Negara oleh itu kerjasama semua ahli mesyuarat adalah dimohon untuk komited dan berganding bahu membanteras ancaman ini demi masa depan generasi akan datang. 

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah AADK Sabah yang baharu, Elmariah Chung.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama