![]() |
Razeef Rakimin, Ketua Penerangan Keadilan Sabah. |
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Sabah (PKR) berpendapat Barisan Nasional (BN) Sabah, harus menjernihkan hubungannya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Razeef Rakimin berkata ia penting agar gerak kerja khususnya dari aspek persiapan jentera tidak terganggu menjelang PRN17 kelak.
"Pada pandangan kami BN perlu menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja dari segi jentera ketika pilihan raya berlangsung.
"BN boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan Sabah dalam usaha kita membangunkan semula negeri ini. Dalam masa sama ia tidak menghalang BN untuk menjadi semak dan imbang di dalam kerajaan negeri.
"Apa yang penting di sini adalah bagaimana BN dapat berperanan bersama PH dan GRS dalam kerajaan Sabah bersama-sama membangunkan negeri ini seperti apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
"Apa yang menjadi keutamaan adalah pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri serta kebajikan rakyat, " katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Razeef turut berkata pihaknya juga menyambut baik kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam mendepani PRN17.
Menurutnya, PKR Sabah menyifatkan pengumuman terbabit merupakan satu keputusan baik dari BN Sabah sebagai rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya lagi, sebelum ini pihaknya juga telah menyatakan pendirian dengan mengambil sikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan untum menghadapi PRN17.
"Sebelum ini juga telah diadakan sekali pertemuan tidak rasmi antara PH Sabah dan BN Sabah. Namun biarlah kerjasama yang dibentuk ini tanpa ada perselisihan dengan parti yang lain dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama komponen PH untuk menentukan rakan kerjasama strategik.
Semalam, Bung Moktar dilaporkan berkata keputusan pihaknya untuk bekerjasama dengan PH Sabah dimuktamadkan pada pemukiman UMNO Sabah penghujung tahun lepas.