Christina Liew kecundang pemilihan Ketua Cabang PKR KK

Christina Liew.

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Kota Kinabalu dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api  itu tewas di tangan pencabarnya, Lee Li Mei yang mendapat 1,381 undi berbanding Christina yang mendapat sebanyak 1,157 undi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Mustapha Sakmud mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Kota Belud.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Sepanggar itu berjaya memperolehi 1,405 undi berbanding pencabarnya, Madeli @ Modily Bangali yang mendapat 100 undi dan Azhrie Jenaim dengan 67 undi.

Timbalan Pengerusi MPN Sabah merangkap Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Peto Galim turut berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Sepanggar dengan mendapat 607 undi.

Ini sekaligus menewaskan pencabar kepada ADUN Inanam itu, Joseph Linggian @ Joseph Chong yang hanya memperolehi sebanyak 178 undi.

Disamping itu, Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari berjaya memenangi Ketua Cabang Putatan dimana beliau memperolehi 684 undi berbanding pesaingnya Tony Biki yang mendapat sebanyak 296 undi.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin turut berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Tuaran dengan 352 undi menewaskan Hampry Luaran sebanyam 170 undi dan Abdul Ali Madtair sebanyak 242 undi.

Bekas Pengerusi MPN Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Cabang Keningau dengan 1,720 undi berbanding pencabarnya, Antakor Rasam sebanyak 295 undi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama