Duda terlepas tali gantung, kena jel 10 tahun, 10 sebatan

Kompleks Mahkah Tawau.

TAWAU: Seorang penganggur hanya mampu menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung selepas ditawarkan pertuduhan pilihan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tertuduh, Norsaid Abd Manap, 55 tahun itu, yang juga duda kepada dua anak, mengaku salah atas pertuduhan pilihan tersebut.

Berikutan pengakuan itu, Hakim Datuk Duncan Sikodol kemudian menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun dan sepuluh kali sebatan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pilihan, Norsaid didapati memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 70.18 gram di tepi jalan Kampung Bakau, Lahad Datu, kira-kira jam 3.30 petang pada 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta sebatan minimum 10 kali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Norsaid menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1)(a) akta yang sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Philip Lee.

Berdasarkan fakta kes, Norsaid ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, yang diketuai Inspektor Arinto Tahang, dalam satu operasi "Ops Tapis". 

Penahanan itu dilakukan selepas tertuduh dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan badan yang dijalankan menemukan dua peket plastik lutsinar berisi hablur jernih seberat 100.56 gram disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam beg silang yang dipakainya.

Barang kes tersebut dirampas dan hasil analisis oleh Jabatan Kimia mengesahkan ia mengandungi 70.18 gram dadah berbahaya methamphetamine.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama