![]() |
Suasana semasa raptai penuh di DUN Sabah. |
KOTA KINABALU: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan agar tidak mempolitikkan Ucapan Dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas, esok (Khamis).
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya berkata peringatan tersebut ditujukan kepada semua pihak sama ada backbenchers ataupun pembangkang agar tidak membangkitkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan intipati ucapan tersebut.
"Untuk sidang pada kali ini lebih-lebih lagi kita baru di pertengahan Syawal, kita harap tenang dalam perbahasan dan bangkitkan benda-benda yang bernas dan hanya isu yang disentuh oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun.
"Dari segi teknikal, seseorang ADUN hanya boleh membahaskan apa yang dibangkitkan oleh TYT Tun dalam ucapan dasar dan isu-isu yang dibangkitkan, di luar daripada itu untuk apa dibangkit kalau tidak disentuh oleh beliau.
"Jadi, saya mengharapkan semua ADUN tidak perlu bangkitkan perkara-perkara yang di luar dan tidak sesuai dan jangan gunakan ucapan dasar TYT untuk platform politik persediaan pilihan raya, ini kepada kedua-dua pihak sama ada backbenchers ataupun pihak pembangkang, jangan dipolitikkan," tegas beliau.
Kadzim yang ditemui di pejabatnya hari ini turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan sidang pada kali ini akan berlangsung panas dan ia adalah sidang yang terakhir.
"Sama ada yang terakhir atau tidak, saya pun tidak tahu bila sidang terakhir sebab saya jangka masa Bajet tu yang terakhir rupanya ada perasmian DUN lagi.
"Tapi dari segi panas tu, bagi saya ia bukanlah panas tapi semangat dan pada akhirnya tidak ada perkara-perkara yang melebihi batas," ujar beliau.
Mengenai raptai selama dua hari bermula Isnin lalu, beliau berpuas hati dengan kerjasama semua pihak dan berharap majlis istiadat serta Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Sabah Yang Keenam Belas pada minggu depan akan berjalan dengan lancar.
"Raptai dua hari berjalan lancar, hari pertama tu mengambil floor of the programme dan semalam kita buat secara actual time dan cuaca pun memihak kepada kita, semua berjalan lancar.
"Tidak ada pembaharuan sama seperti tahun-tahun sebelumnya, cuma istiadat pada tahun ini adalah kali pertama untuk TYT Tun Musa jadi kita perlu memastikan tiada perkara-perkara penting yang tercicir.
"Esok, pengisian ada dua. Pertama, perasmian pembukaan dan kedua acara ini diikuti dengan jamuan Aidilfitri kebetulan kita berada di pertengahan Syawal.
"Untuk perasmian DUN akan dihadiri 500 orang sebab dewan kita tidak dapat menampung. Selepas ucapan dasar, kita akan beredar lebih kurang 1,500 orang ke jamuan Aidilfitri yang juga dihadiri oleh konsul-konsul dan wakil negara asing kita jemput setiap tahun," kata beliau.
Tambah Kadzim, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Sabah Yang Keenam Belas akan berlangsung selama empat hari minggu depan bermula dengan perbahasan, diikuti dengan penggulungan ke atas ucapan dasar Tun Musa sebelum pembentangan empat Rang Undang-Undang (RUU).
Menurutnya, tiga daripada RUU terbabit merupakan pindaan berkaitan undang-undang tanah, hutan dan perumahan manakala, RUU baharu mengenai baja pula akan dibentang pada hari terakhir sidang DUN.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)