JIM Sabah hantar pulang 670 PATI Filipina ke negara asal

Kesemua PATI Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.


KOTA KINABALU: Seramai 670 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang melalui Program Pemindahan Tahanan Asing ke Negara Asal yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Sabah, semalam.

Kesemua PATI yang dihantar pulang termasuk kanak-kanak dan dewasa berusia antara satu hingga 79 tahun.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua tahanan sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan.

Katanya, penghantaran pulang ini dilakukan melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah, ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah telah mendapatkan kerjasama daripada pihak Kedutaan Republik Filipina untuk pengeluaran Travel Documents kepada 536 orang Lelaki Dewasa, 89 orang Perempuan Dewasa, 21 orang Kanak-Kanak Lelaki dan 24 orang Kanak-Kanak Perempuan untuk penghantaran pulang ke Zamboanga City Filipina pada petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan media JIM Sabah, semalam.

Menurut Sitti Saleha, seramai 3,370 warga Filipina telah dihantar pulang melalui pelabuhan di Sabah sepanjang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan tahanan yang dipindahkan ke negara asal mencecah 4,198 orang.

Katanya, kesemua PATI ini dipercayai melanggar Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“PATI tersebut telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan.

“Kesemua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap PATI serta mengambil tindakan terhadap majikan dan individu yang melanggar undang-undang imigresen.

“Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama