Kenapa tidak akui ketulenan surat sokongan Shafie, soal SAPP


KOTA KINABALU – Parti Maju Sabah (SAPP) menyifatkan kenyataan Parti Warisan (WARISAN) berhubung surat sokongan yang didakwa telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri, termasuk MyKAS dan MyPR secara tidak langsung diakui ketulenannya.

Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin berkata penafian oleh Ketua Wira WARISAN, Terence Au berkaitan surat bertarikh April 2019 dan Oktober 2019 yang dikaitkan dengan sokongan dari bekas Ketua Menteri Sabah itu turut menimbulkan lebih banyak persoalan.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah itu berkata ia bertambah meragukan apabila surat terbabit didakwa telah disertakan bersama nota ditulis tangan yang tertera "sukacita dapat diluluskan".

"Nota ini memberi gambaran bahawa permohonan wajar dipertimbangkan dengan kesukaan, bukan sekadar formaliti pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Disamping itu, beliau turut menegaskan tindakan sedemikian menggambarkan satu bentuk ideologi pentadbiran yang terbuka terhadap pemberian dokumen kewarganegaraan walaupun proses kelulusan bukan terletak sepenuhnya di bawah kuasa Ketua Menteri.

Jamain

Tambahnya lagi, penggunaan kuasa politik untuk menyokong permohonan kerakyatan ini bukan sahaja menjejaskan proses pentadbiran yang sepatutnya ketat.

Selain itu, beliau turut menyifatkan tindakan sedemikian membuka ruang kepada perubahan struktur sosial dan demografi Sabah secara sistematik.

“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal identiti negeri. Pemberian dokumen kewarganegaraan kepada warga asing tanpa tapisan ketat boleh mengubah landskap budaya, sosial, dan politik Sabah," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa kesan daripada tindakan itu boleh menyebabkan kawasan yang diduduki etnik bumiputera majoriti asal negeri ini berpotensi berubah wajah dan kehilangan dominasi apabila kuasa politik mula berpindah kepada pengundi 'import'.

“Apabila pemimpin menulis 'sukacita dapat diluluskan' pada permohonan sebegini, ia satu isyarat kepada penjawat awam dan seluruh jentera politik bahawa kewarganegaraan boleh dijadikan alat sokongan politik,” katanya.

Susulan itu, Jamain menggesa agar rakyat Sabah bersatu mempertahankan akar sejarah dan identiti negeri daripada terus dihakis oleh agenda halus yang disifatkan sebagai ancaman kepada kedaulatan tempatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama