KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor gembira dengan prestasi pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (HTSMJ) 1.0 (2021-2025) dan bertekad untuk mencapai prestasi lebih baik.
Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian-Kementerian, jabatan-jabatan dan agensi negeri akan terus bekerja keras bagi memastikan prestasi pencapaian HTSMJ terus ditingkatkan.
"Kita akan terus bekerja keras bagi mencapai prestasi lebih baik lagi khususnya inisiatif-inisiatif yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan", katanya semasa menerima Buku Laporan Tahunan HTSMJ 1.0 (2021-2025) bagi tahun 2024 di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.
Ketua Pegawai Penyelaras (CCO) Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Datu Rosmadi Sulai menyerahkan buku laporan itu dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong.
Hajiji berkata, laporan tahun 2024 merupakan dokumen penting yang merumuskan pencapaian pelaksanaan inisiatif-inisiatif utama di bawah rangka pelan pembangunan 5 tahun HTSMJ 1.0 yang menjadi tunjang utama kepada transformasi sosio-ekonomi negeri, termasuk Ekonomi Biru.
Sementara itu, Rosmadi memaklumkan Hajiji sehingga 14 April 2025, sejumlah 446 inisiatif telah digerakkan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan di bawah Pelan SMJ1.0, dengan pencapaian pelaksanaan keseluruhan yang sangat memberangsangkan iaitu 94.47%.
"Pencapaian ini merupakan manifestasi komitmen padu seluruh jentera pentadbiran negeri dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah secara inklusif, mampan dan berimpak tinggi", katanya.
Menurutnya, penyerahan laporan ini bukan sahaja menjadi simbol kepada ketelusan dan akauntabiliti Kerajaan Negeri, malah menandakan kemajuan yang telah dicapai serta hala tuju masa depan Sabah dalam mengharungi fasa terakhir pelaksanaan SMJ 1.0 menjelang 2025.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SMJ, Tuan Haji Ramlee Kariah dan Pengarah Sekretariatnya, Puan Rosnih Othman.