![]() |
Bomba sedang membantu mangsa yang cedera. |
RANAU: Lima individu mengalami detik cemas selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki terbabas lalu masuk gaung sedalam 20 kaki di Kampung Kinarasan, Jalan Ranau-Tambunan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang daripada mereka mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata maklumat diterima melalui panggilan MERS999 mengenai kejadian ini pada jam 3.46 petang.
Katanya, seramai lima anggota dikerah ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer jarak dari BBP Ranau untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia terbabas sendiri lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki.
“Terdapat lima mangsa terlibat, namun seorang lelaki mengalami kecederaan dan empat yang lain dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Ridwan, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS, sebelum dihantar ke Hospital Ranau menaiki Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 4.30 petang,” katanya.