Kerjasama bukan semata-mata untuk hadapi pilihan raya, Bung diberitahu

Bung (kiri), Phoong (kanan).


KOTA KINABALU: DAP Sabah menegaskan kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah dan bukan demi menghadapi pilihan raya semata-mata.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata susulan itu, pihaknya bersedia untuk berbincang mengenai dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik.

"DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bagi mengulas kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerjasama antara BN Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), semalam.

Dalam pada itu, Jin Zhe turut berkata pihaknya setakat ini belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. 

"Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa. Walau bagaimanapun, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri dimana telah menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"DAP Sabah sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama