Kestabilan politik Sabah keutamaan rundingan kerusi PRN - Masidi

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah komited untuk mengekalkan kestabilan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan memastikan rundingan kerusi antara komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasama seperti Pakatan Harapan (PH) dilakukan secara harmoni dan berhemah.

Menteri Kewangan Negeri Sabah yang juga Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun berkata, prinsip ‘Sabah didahulukan’ menjadi asas utama dalam menentukan pendekatan terbaik bagi pembahagian kerusi antara parti.

"Kita ada hubungan baik dengan Pakatan Harapan. Bila tiba masa yang sesuai, kita akan duduk berbincang dengan baik.

"Bagi saya, kestabilan politik adalah matlamat utama dan untuk capainya, setiap parti dalam gabungan perlu utamakan Sabah," katanya ketika ditemui media di Persidangan Tenaga Boleh Baharu Sabah (SAREC 2025), hari ini.

Jelas beliau, perbincangan awal telah dipersetujui untuk melibatkan semua presiden parti komponen dan dilakukan dalam suasana yang terbuka, sambil mengakui terdapat cabaran tertentu yang perlu dihadapi bersama.

"Kita dah putuskan bahawa semua presiden parti komponen akan berbincang. Saya sendiri akan bincang juga. Memang ada cabaran, tapi boleh diatasi," jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun soal pembahagian kerusi sering dilihat sebagai isu sensitif, namun pendekatan pragmatik perlu diambil demi memastikan setiap calon yang diketengahkan mampu menjamin kemenangan.

"Semua orang nak lebih kerusi, tapi kita hanya ada 73, yang penting, calon yang kita pilih adalah calon yang ada peluang terbaik untuk menang," ujarnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama