![]() |
Aidy Matamin, 61, dipenjara 30 hari Dane denda RM10k kerana memandu dalam keadaan mabuk Februari lalu. |
TAWAU : Seorang kakitangan kerajaan negeri, dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol, Februari lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu keatas Aidy Matamin, 61, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan di Jalan Hill Top - Tanjung Batu kira-kira jam 11.10 malam, 8 Februari lepas.
Tertuduh kemudian ditahan pihak polis keesokan harinya dan hasil ujian pernafasan menggunakan alat EBA II mendapati kandungan alkohol dalam badannya adalah 168 miligram etil alkohol bagi setiap 100 mililiter darah, melebihi had yang ditetapkan iaitu 50 miligram.
Aidy didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 serta penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan menyesal dan insaf, serta memaklumkan beliau bukan peminum tegar tetapi hanya minum secara sosial ketika meraikan rakan dari Semenanjung.
Beliau turut memberitahu telah mengambil ubat demam dan selsema sehari sebelum kejadian kerana tidak sihat.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Joan Lee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan menjalani tambahan hukuman penjara selama 30 hari lagi.
Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan.