![]() |
Seri Salleh, Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah. |
KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak bersifat eksklusif.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan disebabkan itu, pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti tempatan yang mempunyai aspirasi sama.
"Apa yang paling penting ialah keikhlasan dan kesediaan untuk bekerjasama. BN dan PH mesti sepakat dalam memilih rakan gabungan terbaik untuk Sabah.
"Sebarang pakatan perlu mengambil kira aspek seperti pengagihan kerusi yang adil dan saksama, dasar bersama, termasuk menghormati autonomi Sabah serta akomodasi politik berasaskan saling menghormat, bukan dominasi atau sikap 'abang besar'.
"Setelah prinsip-prinsip ini dipersetujui, semua pihak mesti bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan. Ini bukan perjuangan peribadi tetapi komitmen bersama demi masa depan Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook rasminya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pendiriannya dimana BN dan PH Sabah seharusnya bersatu dan tidak berpisah demi kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat negeri ini.
"Bagi saya, pendirian dalam hal ini adalah jelas. BN dan PH merupakan tunjang utama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Maka, di Sabah juga, kita tidak seharusnya berpisah.
Kita bersatu demi perpaduan, kestabilan dan pembangunan. Fokus kita ialah kepada negeri dan rakyat, bukan kepada politik yang tiada kesudahan. Kita menolak politik ekstrem yang memecah-belahkan rakyat," katanya.
Sebelum ini pada 3 November tahun lepas, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata pihaknya bersedia untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Walau bagaimanapun, pada 3 April lepas, sebuah portal berita melaporkan Bung Moktar menyatakan pihaknya tidak akan bertanding solo pada PRN Sabah disamping bakal mengumumkan kerjasama dengan gabungan politik lain kelak.