![]() |
Chan (duduk tengah), Norazean (duduk kiri) dan Peter (duduk tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama ahli-ahli Komuniti Madani. |
KOTA KINABALU: Komuniti Madani mampu memperkukuh perpaduan dan membina masyarakat inklusif di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, konsep Komuniti Madani yang diperkenalkan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan dan pembangunan negara yang lebih inklusif dan progresif.
Beliau berkata inisiatif tersebut selari dengan gagasan Malaysia Madani yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh masyarakat, merangkumi aspek fizikal dan rohani.
"Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan kepercayaan. Jika kita terlalu ekstrem dengan fahaman masing-masing, kita tidak akan mampu mencapai keharmonian.
"Oleh itu, penting untuk kita tanam nilai inklusif dalam masyarakat," katanya ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu di Luyang dekat sini pada Ahad.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu menjelaskan, program yang melibatkan penyertaan Komuniti Madani dari Taman Seri Menanti dan Kampung Kopungit itu dilihat sebagai platform akar umbi yang memberi ruang kepada pemimpin untuk turun padang dan mendekati masyarakat secara lebih santai sambil menyelami isu-isu setempat.
Katanya, nilai-nilai yang digariskan di bawah konsep Madani seperti hormat-menghormati, inovasi, kesejahteraan dan kedaulatan undang-undang adalah asas penting dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang stabil dan maju.
"Selepas beberapa tahun berdepan ketegangan politik, kini kita perlu hargai kestabilan. Tanpa kestabilan dan sikap saling menghormati, Malaysia tidak akan dapat maju. Perbalahan bukanlah jalan penyelesaian," ujarnya.
Menurutnya, program seperti Jiwa@Komuniti Madani bukan sahaja mampu menyemai kefahaman tentang nilai Malaysia Madani tetapi juga berupaya memperkukuh semangat kekitaan dalam komuniti setempat.
"Saya amat mengalu-alukan usaha Jabatan Penerangan dalam menjayakan program seumpama ini, dan berharap ia dapat diteruskan serta diperluas ke lebih banyak kawasan," tambahnya.
Program Jiwa@Komuniti Madani diadakan bertujuan menyemarakkan kefahaman masyarakat terhadap konsep Malaysia Madani serta memperkukuh hubungan antara komuniti berbilang kaum di Sabah khususnya di Kota Kinabalu, katanya.
Pada majlis tersebut Chan turut meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri serta menyampaikan sumbangan peribadi berupa bakul makanan kepada 10 penerima daripada Komuniti Madani Taman Seri Menanti dan Kampung Kopungit.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sabah Peter Tong Ah Pin, Pengerusi Komuniti Madani Taman Seri Menanti Steven Yip serta Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu Norazean Makbul.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)