![]() |
Ewon ketika ditemui media. |
KOTA MARUDU - Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad dengan kerjasama strategik syarikat East Malaysian Agritech (EMAT) melancarkan projek penanaman jagung bijian di Kampung Mosolog, di sini, dengan sasaran peluasan sehingga 5,000 ekar menjelang tahun 2030.
Fasa awal projek bermula dengan kawasan seluas 150 ekar yang melibatkan penyertaan 35 penduduk kampung dan dijangka menelan kos pelaburan keseluruhan berjumlah RM25 juta dalam tempoh lima tahun.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif itu bukan sahaja berpotensi mengukuhkan keterjaminan makanan negara, malah turut memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar.
"Saya percaya ia akan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, khususnya jagung bijian, dan dalam masa sama meningkatkan aktiviti ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad, Datuk Yahya Hussin.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar lebih ramai pemilik tanah dan koperasi di Sabah mengambil langkah memajukan tanah yang terbiar untuk aktiviti pertanian sama ada secara sendiri mahupun melalui kerjasama strategik.
"Tanah yang dimiliki perlu dimanfaatkan untuk menjamin bekalan makanan negara. Siapa lagi yang boleh menjamin keterjaminan makanan kalau bukan kita sendiri?" ujarnya lagi.
Sementara itu, Yahya ketika ditemui pemberita turut berkata sekiranya projek terbabit berjaya dilaksanakan, ia berpotensi untuk membantu rakyat khususnya dari golongan miskin di daerah Kota Marudu.
"Kalau ini menjadi, maju, tentu ini menang-menang. Pekerjaan ada (boleh diwujudkan), tanah mereka punya," katanya.