![]() |
Produk kosmetik dan kesihatan yang dirampas dalam operasi khas bersepadu "Op Taring Dosej" oleh Cawangan Task Force Risik, Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, semalam. Foto | Ihsan PGA Kunak. |
KUNAK : Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak merampas 160 kotak mengandungi pelbagai barangan kosmetik dan produk kesihatan tanpa kelulusan yang disyaki diseludup bernilai RM892,792.00, semalam.
Rampasan dilakukan di sebuah premis tidak bernombor dekat Jalan Pinggir Bakau, Semporna dalam satu operasi khas bersepadu "Op Taring Dosej" oleh sepasukan pegawai bersama sembilan anggota Cawangan Task Force Risik, Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, kira-kira jam 8.10 pagi.
Pegawai Memerintah Batalion 22 PGA Kunak, Superintenden Norman Chendan Philip Picha Rumpang berkata, operasi dijalankan susulan maklumat risikan berhubung kegiatan penyimpanan barangan larangan yang dipercayai diseludup tanpa melalui proses perundangan dan pengesahan pihak berkuasa.
![]() |
Antara produk yang dirampas. |
Menurutnya, premis berkenaan disyaki dijadikan sebagai tempat penyimpanan barangan kosmetik dan ubat-ubatan tidak berdaftar serta diragui status keselamatannya selain tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
'Hasil pemeriksaan menemukan 160 kotak bersaiz besar berwarna coklat dan putih yang mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik antaranya sabun pemutih, krim wajah, losyen, pelindung matahari selain makanan dan minuman kesihatan termasuk jamu tradisional, yang disyaki tiada kelulusan KKM," katanya dalam kenyataan di sini, lewat malam tadi.
Mengulas lanjut, Norman berkata dalam serbuan itu juga pihak turut menahan tiga lelaki yang berada di premis terbabit dipercayai mempunyai kaitan dalam pengurusan serta pemilikan barangan yang disita.
Selain itu katanya, tiga buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk tujuan mengangkut dan menyimpan kesemua barangan terbabit turut disita.
"Suspek bersama barang rampasan termasuk tiga buah kenderaan yang disita keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,042,792.00 ditahan untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu berkaitan kesalahan memiliki dan menyimpan barangan tanpa cukai," katanya.