KPDN Sandakan siasat 15 kes penyelewengan barangan kawalan bernilai RM1.3 juta


KOTA KINABALU: Sebanyak 15 kes penyelewengan barangan kawalan berjaya dikesan dan disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, melibatkan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1,302,073.20 sejak awal tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John, barangan yang terlibat dalam kes-kes tersebut termasuk gas petroleum cecair (LPG), minyak masak bersubsidi, tepung gandum, gula, serta bahan api seperti petrol RON95 dan diesel yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Beliau menjelaskan bahawa kesemua rampasan itu direkodkan dari 1 Januari hingga 25 April 2025.

“Bagi menangani ketirisan barangan kawalan, kami akan terus mempergiatkan pelaksanaan Operasi Bersepadu, khususnya di kawasan perairan Sandakan yang sering menjadi lokasi panas aktiviti penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azdy turut memaklumkan bahawa KPDN Sandakan terus memperkukuh kolaborasi dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mengulas mengenai operasi terbaru yang dijalankan semalam, beliau berkata seramai sembilan anggota KPDN Sandakan telah digerakkan bersama PPM Sandakan dari jam 9 malam hingga 2.30 pagi.

“Operasi tersebut melibatkan pemeriksaan menyeluruh di kawasan perairan seperti Sungai Seguntor, pesisir Kampung Bokara (Tanah Merah), serta beberapa jeti swasta di sekitar Sandakan. 

“Bagaimanapun, tiada sebarang kesalahan dikesan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam operasi kali ini,” katanya.

Azdy turut mengingatkan bahawa individu yang disabitkan kesalahan di bawah akta tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun. Manakala bagi entiti syarikat, denda antara RM2 juta hingga RM5 juta boleh dikenakan bergantung kepada bilangan kesalahan,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen KPDN Sandakan untuk meningkatkan kecekapan penguatkuasaan serta memperluas kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dalam membanteras penyelewengan barangan kawalan.

“Orang ramai turut diseru agar tampil menyalurkan maklumat jika mengesan sebarang salah laku atau penyelewengan, melalui saluran rasmi seperti WhatsApp (019-8488000), Portal Aduan (http://eaduan.kpdn.gov.my), Pusat Panggilan 1-800-886-800, atau e-mel ke eaduan@kpdn.gov.my.

“Selain itu, aplikasi Ez ADU KPDN serta talian Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-8882 6088 / 6245 juga boleh digunakan, termasuk penghantaran surat rasmi ke pejabat KPDN terdekat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama