![]() |
Armizan ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Samburan Aidilfitri MP Papar dan ADUN Kawang bertempat di Dewan SMK Pengalat - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangka langkah khusus untuk mewujudkan stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan yang akan bermula 1 Mei ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata disamping menjelaskan syor tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 26 Mac lepas, ia juga merupakan langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan gula di tiga wilayah itu.
Susulan daripada keputusan itu, beliau berkata KPDN akan mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada kedua-dua syarikat pengilang di Semenanjung Malaysia iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, jumlah stok penimbal yang ditetapkan adalah pada kadar 1,000 metrik tan untuk keperluan di Sabah dan Labuan manakala 1,000 metrik tan untuk keperluan di Sarawak secara berperingkat.
"Sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini, selain penyediaan stok penimbal, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan tambahan untuk subsidi pengangkutan perkapalan bagi penghantaran bekalan gula putih bertapis ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Peruntukan yang disediakan kini adalah sebanyak RM38 juta setahun, berbanding RM19 juta setahun sebelum ini iaitu peningkatan daripada 10 sen kepada 20 sen bagi setiap kilogram.
"Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lepas juga bersetuju untuk KPDN menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan dan Harga.
"Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh kementerian, jabatan, agensi serta pemain industri berkaitan yang akan bersidang sekurang-kurangnya enam kali setahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Samburan Aidilfitri MP Papar dan ADUN Kawang bertempat di Dewan SMK Pengalat, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga menganggarkan bekalan stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan mampu bertahan sekitar dalam tempoh enam bulan.