![]() |
Ketua Menteri (tengah) pada majlis sambutan Aidilfitri bersama warga Kibing di kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini hari ini. |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memuji komitmen Kumpulan Kibing dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada 700 lagi rakyat Sabah melalui program pengambilan pekerja terbarunya yang bermula pada bulan Mei.
Beliau berkata pengambilan baharu itu bakal menambah kepada jumlah 1,625 rakyat Sabah yang sudah bekerja dalam pelbagai jawatan pengurusan, kejuruteraan, teknikal dan operasi di Kumpulan Kibing.
“Ini membentuk lebih daripada 83 peratus daripada jumlah tenaga kerja Kumpulan Kibing. Perkembangan positif ini bukan sahaja memperkasakan komuniti tempatan kita tetapi juga memupuk kemakmuran bersama. Syabas dan terima kasih,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri bersama warga Kibing di kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini hari ini.
Sebelum itu, Ketua Menteri telah dimaklumkan bahawa Kumpulan Kibing akan memulakan kempen pengambilan pekerja baharu melalui kerjasama dengan Sekretariat SMJ dari 13 Mei hingga 23 Mei di pejabat daerah Ranau, Tuaran, Beaufort, Papar, Kota Kinabalu dan Penampang.
“Saya juga ingin menekankan kepentingan mengutamakan pengambilan anak-anak Sabah untuk peluang pekerjaan dan ingin menyarankan semua pemain industri untuk tidak hanya mengupah anak Sabah dalam tenaga kerja mereka tetapi juga melabur dalam latihan dan perkembangan mereka.
“Usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan industri,” katanya.
Hajiji berkata ia adalah merupakan satu detik peristiwa yang amat bermakna apabila Kumpulan Kibing memulakan pembinaan kilang pembuatan kaca solar berteknologi tinggi bernilai RM2.5 bilion di Sabah pada tahun 2022.
“Hari ini, kehadiran Kumpulan Kibing bukan sahaja satu usaha transformasi untuk Sabah tetapi juga merupakan bukti kejayaan Kerajaan Negeri dalam meneruskan projek-projek berimpak tinggi untuk kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Hajiji turut maklum bahawa Kumpulan Kibing telah mencapai kemajuan besar apabila pada bulan November tahun lalu, Kumpulan itu melabur dalam satu lagi projek untuk membina kilang pembuatan kaca solar baharu bernilai RM7.2 bilion di Kimanis.
“Hingga kini, kesan positif kehadiran Kumpulan Kibing di Sabah sudah jelas dan menyenangkan dengan lebih RM50 juta nilai kontrak telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat tempatan sejak pembinaannya bermula.
“Kita mempunyai harapan yang tinggi bahawa Kumpulan Kibing akan terus maju dan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan jangka panjang Sabah,” katanya.
Semasa taklimat, Hajiji juga diberitahu bahawa pengeluaran pertama Kibing kini beroperasi penuh, mengeksport 1,500 kontena bernilai USD14 juta sebulan. Pengeluaran kedua Kibing dijangka mencapai pengeluaran penuh pada bulan Jun tahun ini, manakala pengeluaran ketiga dijadualkan mencapai pengeluaran penuh dalam tahun ini.
Destinasi eksport Kumpulan Kibing adalah Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Utara, Afrika, dan Eropah.
“Saya ingin menekankan komitmen Kerajaan Negeri untuk memudahkan pelaburan ke negeri Sabah. Kerajaan Negeri bertekad dalam misi kami untuk mewujudkan persekitaran yang menarik lebih banyak pelabur.
“Pelaburan-pelaburan ini juga berkaitan dengan penjanaan pekerjaan, memupuk inovasi dan meningkatkan kehidupan rakyat kita,” katanya.
Turut hadir adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Persekutuan Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.