Lelaki cedera ditetak rakan mabuk

Suspek lelaki warga asing berumur 30 tahun ditahan selepas bertindak menetak rakannya menggunakan sebilah parang, di Kampung Merotai Besar, di sini, semalam. Foto | Ihsan PDRM.


TAWAU : Seorang lelaki cedera akibat ditetak menggunakan sebilah parang oleh sahabatnya sendiri dalam kejadian di Kampung Merotai Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 49 tahun cedera di bahagian tangan, lengan sebelah kanan dan bahagian belakang badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Bin Piuh berkata, mangsa telah diserang oleh suspek yang pada ketika itu sedang mabuk dan motif kejadian masih disiasat.

Menurutnya, mangsa sebelum itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada suspek yang mahu berjumpa untuk menyelesaikan satu urusan. 

"Bagaiamanapun, apabila sampai dilokasi pertemuan, mangsa telah diserang oleh suspek yang ketika itu sedang mabuk sebelum bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah parang.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera dan mengalami trauma bergegas mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai telah berjaya mengesan dan menahan suspek warga asing berumur 30 tahun yang disyaki terlibat dengan kes yang disiasat.

Katanya, turut dirampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana gabungan dua daripada hukuman tersebut," katanya.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama