Lelaki didakwa cuba rogol budak perempuan kena cekup

 Suspek warga asing berumur 31 tahun ditahan selepas didakwa cuba merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan. Foto | Ihsan Polis.



TAWAU : Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki cuba merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu Darat, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat ibu mangsa kira-kira jam 11.15 pagi hari yang mendakwa anaknya diganggu secara seksual oleh suspek.

Beliau berkata, sebelum itu pengadu memaklumkan mengupah suspek berumur 31 tahun yang dikenalinya itu untuk mengupas kelapa.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa yang bersekolah pada sesi petang tinggal bersendirian di rumah selepas ibunya keluar menghantar dua anak lelakinya di sebuah sekolah menengah di sini.

"Suspek dikatakan berpura-pura memanggil mangsa melalui pintu di dapur dan sebaik mangsa membuka pintu, suspek meluru masuk kearah mangsa sebelum memintanya membuka pakaian seragam sekolah," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek itu terus melarikan diri melalui pintu hadapan sebelum mendapatkan bantuan di rumah jiran berdekatan.

"Suspek kemudiannya berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada sepasukan polis peronda dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau yang tiba di lokasi selepas itu.

"Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(a)(2) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama