Lima kawasan utama perlu pemeriksaan penstrukturan bangunan- Mayor

SUMBANGAN… Juliah (tengah) menyampaikan duit raya kepada salah seorang daripada 20 penerima sumbangan asnaf DBKK.

KOTA KINABALU: Lima kawasan utama sekitar Kota Kinabalu dikenalpasti perlu pemeriksaan penstrukturan bangunan yang sudah berusia melebihi 40 tahun.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata lima kawasan terbabit  ialah  Segama, Sinsuran, Kampung Air, Bandaraya Berjaya dan bangunan sekitar Gaya Street.

"Setakat ini, kita baru mengumpul maklumat-maklumat bangunan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu terutamanya yang dibina di kawasan bandaraya seperti Segama, Sinsuran, Kampung Air dan juga kawasan berhampiran Bandaraya Berjaya.

"Ini yang kita bagi keutamaan untuk membuat pemeriksaan sebab ia melibatkan orang ramai mereka datang ke tempat tersebut sama ada datang ke restoran ataupun ada juga tempat-tempat yang dijadikan hotel-hotel kecil.

"Jabatan Kawalan Bangunan di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan juga Jabatan Kejuruteraan telah menghantar surat kepada pemilik-pemilik bangunan terutama yang ada management company dan sebagainya agar memeriksa bangunan mereka dari segi integriti struktur bangunan terutama sekali yang telah melebihi 40 tahun.

"Pada masa sekarang, DBKK sedang mengatur rancangan pemeriksaan berdasarkan usia bangunan tersebut,  kita akan memeriksa bangunan yang lebih berumur," katanya ketika ditemui media seusai Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DBKK, pada Sabtu.

Selain itu, Sabin turut mengulas berkenaan cadangan untuk memperluaskan Kempen Non Plastic Bag di restoran di seluruh bandar Kota Kinabalu.

"Kita akan dapatkan maklum balas daripada peniaga terutama sekali yang menggunakan bahan-bahan plastik untuk membungkus makanan jadi kami perlu buat kajian serta engagement dengan pihak yang terlibat.

"Setakat ini, restoran masih belum ikut namun pada masa akan datang selepas kita buat engagement dengan mereka apakah bahan yang boleh digunakan untuk menggantikan polisterin makanan mungkin kita akan laksanakan pada masa akan datang. 

"Tempohnya kita akan cuba lihat pada sebelum akhir tahun ini kalau ada persetujuan antara kedua-dua belah pihak,"jelasnya.

Majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 warga DBKK itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Dalam majlis tersebut, Tun Musa menyampaikan sumbangan sebanyak RM10 ribu kepada rumah anak yatim Al Aman dan sumbangan duit raya kepada  20 golongan asnaf warga DBKK yang terdiri daripada pelbagai Jabatan  serta 10 anak yatim dari rumah anak yatim Al-Aman.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa, serta menteri-menteri kabinet negeri.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama