Malam yang tidak menjadi, Sabah tewas 0-1 ditangan Perak

 

Sabah FC pada perlawan akhir Liga Super 2024/2025 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. (Foto ihsan: FB Sabah FC)


KOTA KINABALU: Malam yang tidak menjadi buat pasukan Sabah FC setelah menyaksikan pasukan itu tewas 0-1 kepada Perak FC dalam perlawanan terakhir Liga Super 2024/2025 di Stadium Likas, di sini semalam.

Pasukan Sabah dilihat bergelut sepanjang perlawanan apabila percubaan mereka berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan pelawat.

Malang menimpa skuad Sang Badak apabila kapten mereka, Rawilson Batuil, secara tidak sengaja menolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-29 ketika cuba menghalang hantaran lintang daripada Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik.

Keadaan bertambah buruk buat tuan rumah apabila pemain pertahanan, R. Dinesh, menerima kad merah pada minit ke-42 selepas mengasari Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil.

Meskipun The Bos Gaurus terus memberi tekanan pada separuh masa kedua, keputusan kekal 1-0 hingga tamat perlawanan.

Namun, kekalahan ini tidak mengubah kedudukan Sabah di tempat ketiga dengan 40 mata, di belakang Johor Darul Ta'zim (70 mata) dan Selangor (52 mata).

Sementara itu, para penyokong setia skuad Sang Badak tidak ketinggalan memberikan kata-kata semangat di ruangan komen Facebook Sabah Football Club.

“Biarpun kekal top 3, tapi ini gambaran halus skuad anak jati musim depan. Apa pun, Tahniah Rhinos,” komen Vijay Raman.

“Bukan pengakhiran yang diimpikan oleh rakyat Sabah malam ini, namun terima kasih kepada pasukan Sabah FC atas usaha gigih dan dedikasi yang luar biasa, membawa nama Sabah sekali lagi ke kedudukan tiga teratas. Semoga terus cemerlang di musim baharu yang akan datang. Bangkit lebih kuat!,” komen Ha Zel Yong.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) menang 3-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu malam tadi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama