KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) ingin menjelaskan bahawa kejadian penemuan mayat lelaki yang dilaporkan telah disahkan berlaku di luar sempadan kawasan kampus universiti.
Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kejadian itu tidak melibatkan mana-mana penuntut atau kakitangan universiti ini.
Katanya, UMS telah menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya dan menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan.
Terdahulu, mayat seorang lelaki ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan lereng bukit menghala ke Kampung Kibagu, di sini.
Mayat lelaki berusia 20 tahun itu ditemui oleh orang awam pada jam 1.30 petang dalam keadaan tergantung dengan tali.