Motosikal masuk gaung, penunggang warga Filipina maut

Seorang lelaki bukan warga tempatan maut akibat hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung di Jalan Lahad Datu - Sandakan.


LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam gaung di Kilometer 35 Jalan Lahad Datu – Sandakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian di laporkan berlaku kira-kira jam 3 petang. 

Katanya, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal di kawasan berkenaan daripada orang awam.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, mangsa dari arah Sandakan menuju Lahad Datu disyaki hilang kawalan dan terbabas di gaung sebelah kanan bahu jalan.

“Kejadian itu turut disaksikan sendiri abang mangsa yang berada di kenderaan lain di hadapan motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut. 

“Sampel darah mangsa diambil untuk ujian alkohol serta dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

Dzulbaharin menegaskan kepada semua pemandu supaya berhati-hati dan berhemah supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain terutama pada musim perayaan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama